Friday, March 6, 2009

Cinta dan sayang

Cinta Dan Sayang

Perasaan cinta, kasih dan sayang ada dalam hati setiap
orang, tetapi cara mempamerkan cinta tidak sama antara
seorang dengan seorang yang lain. Dan berbeza juga
antara satu bangsa dengan satu bangsa yang lain.

Namun sesuatu yang pasti-perasaan cinta dan sayang
selalunya terpamer melalui sikap dan kata-kata. Sebuah
syair arab mengungkapkan," Tanda-tanda cinta tidak
dapat disembunyikan oleh seseorang laksana pembawa
kasturi tidak dapat menyembunyikan keharumannya"

Rasa sayang seorang suami terhadap isteri akan
terpamer pada sikap dan kata-kata yang natural
bersahaja. Begitu juga sebaliknya.Ini bermakna,
pasangan suami isteri tidak perlu berlakon di depan
ramai untuk memperlihatkan perasaan saling menyayangi.

Mereka tidak perlu berjalan berpimpin tangan,
berpelukan, atau berkucupan di khalayak ramai untuk
memberitahu orang bahawa mereka adalah pasangan
bahagia dan saling mencintai. Cara itu bukan sahaja
tidak sesuai dengan akhlak Islam, malah menyalahi
etika budaya timur.

Biarpun begitu, perasaan cinta suami isteri perlu
disuburkan. Demikian juga perasaan sayang ibu bapa dan
anak-anak. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :
Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi"
Perasaan sayang letaknya di hati, tetapi ia boleh
disuburkan melalui tindakan lahit dan kata-kata.

Senyuman mesra isteri menyambut kepulangan suami sudah
cukup mengambarkan perasaan cinta dan sayang yang
tidak berbelah bahagi. Jika dijadikan amalan harian,
nescaya cinta akan subur seperti tanaman yang disiram
baja secara berterusan mengikut aturan.

Kucupan suami pada dahi isteri yang mengiringinya ke
pintu sebelum si suami melangkah keluar ke tempat
kerja sudah memadai untuk mencerminkan rasa hormat dan
cinta yang bersemi dihati. Dan rasa hormat dan cinta
itu akan subur sekiranya dibajai selalu.

Ini bukti bahawa cinta itu terlalu seni. Tidak ada
perlakuan dan kata-kata yang tepat untuk mengungkapkan
seluruh perasaan cinta seseorang terhadap orang yang
dicintainya. Lain orang. lain cara ungkapan dan luahan
rasa cintanya.


Walaupun ungkapan " Aku mencintaimu" ( I LOVE YOU )
selalu diungkapkan oleh pasangan kekasih atau suami
isteri di layar perak, namun dalam realiti kehidupan,
pelbagai bentuk sikap dan ungkapan lain digunakan
untuk membawa maksud yang sama. Perhatikan
ungkapan-ungkapan ini sekadar contoh:-
" Cantik Ana tengok abang pakai baju ni"
" Abang memang minat laksa, tapi kalau Mah yang masak,
lagilah abang berselera makan"
" Nah, abang bawa buah tangan ni untuk Ton dan
anak-anak"
" Hati-hati memandu ya, bang...."
Demikian antara ungkapan-ungkapan indirect yang
mencerminkan rasa kasih dan sayang antara suami
isteri.

Namun begitu, jika mengungkapkan rasa cinta secara
langsung dan terus terang sudah menjadi budaya atau
kemestian bagi sesuatu bangsa, maka tidak salah
ungkapan " Aku mencintaimu:" menjadi basahan bibir
suami isteri.

Dari mata turun ke hati. Ini merupakan ungkapan yang
mengambarkan peranan mata untuk jalinan cinta.
Justeru, jangan harapkan cinta akan subur jika
pasangan suami isteri selalu mengelak untuk bertentang
mata bila berbicara.

Antara bukti cinta ialah adanya ingatan pada orang
yang dicinta. Dan tanda seseorang itu ingat akan
sesuatu atau seseorang lain ialah dia selalu
menyebut-nyebutnya.

Rasulullah s.a.w mengungkapkan kata-kata berikut
kepada Sayidatina Aisyah r.ha untuk mengambarkan
ingtaan dan perasaan sayangnya kepada isteri baginda
Sayidatina Khadijah r.ha yang telah wafat.:
" Khadijah mencintaiku disaat aku sengsara. Khadijah
beriman kepadaku pada waktu orang lain tidak percaya
dan menganggapku gila. Khadijah memberikan banyak
sekali pengorbanan untukku ketika orang lain
memusuhiku. Patutkah aku melupakan perempuan seagung
itu walaupun misalnya dia bukan isteriku? Dan dia
adalah isteriku dan ibu kepada anak-anakku.

Dalam meluah dan mempamerkan rasa cinta, batas yang
diperaturkan oleh Islam ialah perlunya ada rasa malu.
Adanya rasa malu merupakan cermin iman di hati.
Perasaan malu menghalang luahan cinta di luar batasan.


Disebabkan hilang atau kurang rasa malu,
pasangan-pasangan di barat mempamerkan rasa cinta
dengan perlakuan yang tidak bermoral.
Perasaan malu juga menjadi benteng untuk imbangan diri
tatkala mengalami gelodak cinta yang tidak kesampaian.
Seorang gadis yang menyimpan rasa cinta pada seorang
teruna tidak akan bertindak di luar batasan jika ada
perasaan malu di hati. Dia percaya, cinta seumpama itu
hanya dapat disuburkan melalui ikatan perkahwinan.
tetapi jika bukan jodohnya, dia rela menjadi scret
admirer kepada si teruna dan rasa cinta itu satu waktu
akan hilang dengan sendirinya bila Allah pertemukan
jodohnya dengan teruna lain.

Dalam hubungan cinta antara ibubapa dan anak-anak,
Rasulullah s.a.w bersabda bahawa ibu lebih penyayang
dari bapa dan doa orang yang penyayang tidak sia-sia.
Ertinya, Allah Yang Maha Penyayang memakbulkan doa
orang yang penyayang jika dia berdoa untuk orang
disayanginya.

Ini merupakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita yang
bergelar ibu. Sebab itu dikatakan bahawa doa ibu
sangat makbul. Bahkan sumpah seranah seorang ibu
dikira sebagai doa !.

Dengan kekuatan cinta, seorang wanita dapat membentuk
dan mendidik anak-anaknya ke arah yang diredhai Allah.
Sebaik-baik didikan ialah yang dimulakan dengan
mengenalkan anak kepada Tuhan hingga si anak dapat
belajar mencintaiNYA. Tetapi belaian, asuhan dan didikan seorangn ibu tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan doa yang berterusan.
Doa adalah tanda ingatan kita pada Pencipta. Dan doa
juga merupakan bukti cinta hamba pada Tuhannya.

0 comments :